Azamat Baimatov menjadi pemain dari Kyrgyzstan yang pertama akan menyarung jersi Kuala Lumpur selepas menandatangani kontrak selama semusim bersama skuad Liga Premier itu.
Pemain pertahanan itu sepatutnya menyertai KL di jendela perpindahan kedua pada musim 2019 sebagai pengganti Ryutaro Karube namun tidak menerima pelepasan kelabnya ketika itu, Dordoi Bishkek.
Dengan ketinggian 1.87 meter, Baimatov, 30, lega apabila tiba di KL akhirnya dua minggu yang lepas dan mengesahkan penyertaannya untuk musim 2020.
“Saya tahu kelab ini mempunyai sejarah yang besar dan saya menerima jemputan musim lepas lagi tetapi saya tidak dapat datang kerana kelab lama saya masih terlibat dalam Piala AFC ketika itu,” kata Baimatov selepas majlis menandatangani kontrak pemain-pemain di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Rabu.
“Ini adalah peluang yang baik untuk saya bantu KL kembali ke Liga Super dan juga untuk menyinar di Piala Malaysia di mana pasukan-pasukan terbaik dari Liga Super turut bermain.”
Baimatov tiba di KL dengan reputasi yang tinggi di negara asalnya selepas menjadi kapten Kyrgysztan untuk tujuh tahun. Pemain itu masih terlibat dalam kelayakan Piala Dunia di mana Kyrgyzstan ketika ini menduduki tangga kedua dalam Kumpulan F dibelakang Jepun.
“Kami masih ada baki tiga perlawanan lagi untuk cuba layak ke peringkat seterusnya dan kami akan lihat apa akan terjadi,” kata Baimatov. “Saya bukan lagi kapten pasukan kebangsaan kerana peluang itu diberi kepada pemain lain tetapi saya masih terlibat dalam pasukan.”
Dengan pengalaman yang luas termasuk beraski untuk kelab di Latvia, Rusia dan Bahrain, Baimatov akan menjadi sandaran KL bagi mengetatkan pertahanan yang bolos 133 gol dalam dua musim yang lepas.
“Saya tahu mengenai bolasepak Malaysia dan saya pun pernah bermain di Indonesia sebelum ini (bersama Borneo FC),” kata Baimatov. “Saya berterimakasih pada pengurusan dan jurulatih untuk peluang ini dan saya akan berikan persembahan yang terbaik supaya 2020 menjadi tahun yang berjaya untuk KL.”
Sementara itu, presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Khalid Samad, mengumumkan lantikan Paulo Josue sebagai kapten KL untuk musim 2020.
Dua pemain import lain masih dalam proses ujian iaitu bekas penyerang Melaka, Davy Angan N’Guessan, dan pemain dari Perancis, Guy Gnabouyou, yang bermain di Romania untuk Petrolul Ploiesti.
KL akan berjumpa Universiti Teknologi Mara dalam perlawanan persahabatan di Stadium UiTM, Shah Alam pada Jumaat, 3 Januari, jam 8.30 malam.